Selain dari arkitek landskap, cuba anda senaraikan lagi orang-orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan landskap di seluruh bandar atau di rumah atau di taman rekreasi atau di mana-mana sahaja anda berada. =)
Mereka adalah :-
PEREKA LANDSKAP
Pereka landskap tidak banyak bezanya dari arkitek landskap. Pereka landskap menjurus kepada nilai estetika dalam rekaannya manakala arkitek landskap pula meliputi rekaan artistik serta kejuruteraan struktur. Bagaimanapun kedua-duanya mengambil kira keadaan tanah, perparitan, suhu kerana tumbuhan yang ditanam bergantung kepada faktor berkenaan.
Biasanya pereka landskap sinonim dengan reka bentuk taman manakala tugas arkitek landskap meliputi reka bentuk taman, pengurusan landskap, kejuruteraan landskap, landskap perbandaran, penilaian landskap dan perancangan landskap.
Pereka landskap dan arkitek menggunakan pensil dan kertas bagi melukis gambaran tanaman dan peralatan landskap lain. Perisian reka bentuk landskap telah menjadi pilihan popular sejak terdapat teknologi komputer peribadi.
TUKANG KEBUN
Tugas tukang kebun bukanlah semudah yang dijangka. Mereka bertindak sebagai penggerak utama dalam sesuatu pembinaan landskap tersebut. Mereka menanam pokok-pokok di tepi jalan, di taman dan di tempat-tempat yang dipilih untuk dibina landskap.
Tukang kebun juga berperanan sebagai 'doktor' kepada pokok-pokok bunga atau tumbuh-tumbuhan yang telah mereka tanam. Mereka akan merawat dan menjaga setiap tumbuhan dengan teliti supaya ia dapat hidup dengan subur dan segar.
GURU LANDSKAP
Guru landskap juga memainkan peranan yang penting dalam mencantikkan kawasan sekolah. Berperanan sebagai seorang pereka landskap dan juga arkitek landskap, guru landskap merupakan individu yang bertanggungjawab ke atas landskap sesebuah sekolah.
Kini kerjaya landskap merupakan sebuah bidang kerja yang mempuyai prospek yang cerah. Boleh dikatakan di semua agensi swasta dan kerajaan memerlukan khidmat landskap. Dan kerajaan telah banyak menunjukkan kesungguhan untuk memartabatkan landskap ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti landskap dan tempat untuk menambah ilmu landskap. Oleh itu, banyak peluang pekerjaan yang melibatkan landskap yang boleh anda ceburi. Pelbagai kerjaya yang berkaitan landskap telah di wujudkan. Antara cabang kerjaya dalam bidang landskap adalah :
- Pensyarah Landskap
- Perunding hiasan landskap
- Perunding hiasan dalaman
- Kontraktor Landskap
- Usahawan Nurseri
- Penyelia Taman
- Juruteknik Landskap
- Pembantu Landskap
- Penulis buku landskap
- Penceramah Landskap
- Penulis laman web landskap
- Wartawan landskap
- Pengacara Landskap
Siapa kata bidang landskap punyai skop pekerjaan yang kecil?? Belum cuba belum tahu =)